=)

=)

Monday, July 05, 2010

Stailo : Variasi kemeja lelaki

Kenali jenis baju dan tip penggayaan

BERBANDING wanita, sesetengah lelaki mungkin tidak ambil pusing soal berpakaian. Asalkan tampak kemas dan ‘diterima’, apa saja boleh digayakan. Namun, sesuai dengan perubahan gaya hidup dan cita rasa masyarakat, lelaki yang selama ini tidak mengambil berat soal berpakaian, nampaknya perlu berubah sikap.
Sebagai panduan permulaan dalam bergaya, kolum XY-Stailo berkongsi jenis pakaian di bawah kategori kemeja yang boleh dianggap persalinan wajib lelaki. Bagi yang tidak tahu, kemeja sebenarnya mempunyai pelbagai jenis dengan etika atau styling berbeza ketika menggayakannya. Ketika memilih kemeja, elok terlebih dulu kenal pasti tujuan atau ke mana ia hendak digayakan. Jika kemeja yang hendak dipakai sebagai persalinan formal atau pejabat, sudah pasti kemeja lengan panjang polos atau berbelang; dengan warna asas yang tidak terlalu menyerlah serta diperbuat daripada kain bermutu tinggi yang tahan lasak menjadi pilihan.

Pelbagai faktor selain keselesaan diri dan jenis pekerjaan boleh menjadi faktor penentu dalam memilih kemeja ke pejabat. Jika anda berada dalam kumpulan profesional, kemeja putih atau warna asas lain lebih sesuai digayakan berbanding kemeja berbelang yang mungkin lebih bersifat santai hingga tidak sesuai digayakan ke pejabat.

Jika anda berkecimpung dalam dunia kreatif pula, kemeja yang tidak terlalu boring atau formal cukup sesuai digayakan ke pejabat atau bertemu pelanggan.

Hati-hati ketika memilih kemeja lengan pendek kerana ia tidak sesuai dipakai ketika menghadiri majlis rasmi seperti acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) syarikat; temu janji bersama pengurusan kanan atau lembaga pengarah dan majlis rasmi lain yang dianjurkan syarikat. Perlu diingat, pemakaian blazer atau suit cukup digalakkan ketika menghadiri majlis rasmi bagi menggambarkan tahap profesionalisme anda.
Berikut disenaraikan beberapa jenis kemeja mengikut istilah dalam manual fesyen antarabangsa untuk panduan anda.

Dress Shirt

Berbanding jenis kemeja lain, dress shirt dianggap kemeja paling mahal dalam koleksi lelaki. Ciri-ciri asas dress shirt sudah pasti kemeja berlengan panjang serta sering dirujuk sebagai button-down collar dress shirt atau kemeja berkolar dengan butang penuh di depan.

Dress shirt mempunyai pelbagai variasi, warna dan potongan serta berfungsi sebagai persalinan formal atau ke pejabat. Dress shirt selalunya digandingkan dengan tali leher bersama warna sepadan atau digayakan bersama blazer, suit atau sports jacket.

Pemakaian dress shirt yang bersuaian akan menyerlahkan ciri profesionalisme anda sewaktu bertugas atau menghadiri majlis rasmi.

Sports Shirt

Sports shirt didatangkan dalam dua versi iaitu lengan panjang dan pendek. Sama seperti kemeja dari kategori dress shirt, kemeja sukan bagaimanapun lebih longgar.

Sports shirt boleh dipadankan dengan seluar denim dan stail kemeja ini boleh dilihat dalam pakaian seragam ketenteraan dan golongan pekerja kolar biru. Sports shirt sejak akhir-akhir ini makin popular apabila kod berpakaian kasual sektor korporat mula diperkenalkan.

Sports shirt diperbuat dari pelbagai jenis kain seperti kapas atau polyester. Namun sebagai peringatan, sports shirt tidak layak diberi ‘layanan’ sama seperti dress shirt yang lebih formal.

Kemeja Polo atau Kemeja Golf

Kemeja Polo atau kemeja golf melengkapi ciri-ciri pakaian kasual lelaki namun dalam keadaan tertentu, ia boleh dianggap lebih bergaya daripada kemeja lengan pendek yang digayakan lelaki.

Kemeja Polo atau golf dipopularkan pemain polo dan golf di Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Lazimnya, kemeja Polo memiliki kolar dan dilengkapi tiga hingga empat butang di bahagian depan.

Team Jersey

Jersi pasukan ini dipopularkan kumpulan sukan. Selalunya, jersi dilengkapi nama dan logo pasukan sukan dengan nombor pemain pilihan. Jersi makin popular sebagai persalinan menyaksikan acara sukan atau acara kasual lain.

Selalunya, jersi memiliki bahagian leher potongan krew atau potongan v.

Kemeja T

Tidak perlu dipertikai, kemeja T adalah pilihan No 1 lelaki! Mengikut sejarah awal, kemeja T sebenarnya dicipta sebagai pakaian dalam lelaki untuk dipadankan dengan seluar dalam.

Namun, evolusi gaya mengubah status kemeja T yang kini boleh ditemui dalam pelbagai jenis bentuk, gaya dan corak. Kemeja bersifat fleksibel, selesa dan ringan apabila dipakai. Namun, pemakaiannya sudah pasti terhad kepada acara santai atau pakaian hujung minggu.

Tuksedo

Kemeja tuksedo adalah pakaian rasmi yang dipakai bersama jeket tuksedo. Kemeja tuksedo bukanlah persalinan yang sering digayakan, sebaliknya hanya disarung ketika menghadiri majlis formal seperti perkahwinan atau menonton opera.

Kemeja tuksedo berlengan panjang dan memiliki butang penuh serta berwarna putih. Ia dihasilkan dengan corak plate di hadapan dan kolar kecil yang digayakan bersama bow tie.

Selamat melaram!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails