=)

=)

Sunday, October 31, 2010

Kepuasan memasak di dapur bajet



RUANG dapur ringkas dan elegan mampu dimilik dengan bajet minimun.


RUANG terhad serta bajet yang minimum sering saja menjadi rungutan golongan yang baru memiliki rumah idaman terutama mereka yang masih berusia muda.
Ramai orang percaya mood untuk memasak akan lahir apabila mempunyai dapur yang cantik dan menepati fungsi yang diingini.
Namun, masalah yang sering dihadapi adalah untuk menentukan apa yang terbaik berdasarkan ruang yang terhad, keperluan dan gaya hidup.
Tidak ketinggalan kekangan kos membuatkan ada yang mengambil masa yang lama sebelum dapat memiliki dapur yang dihajatkan.
Menjengah ke premis kabinet dapur, Reno Concept yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor ternyata ruang pameran tersebut menjadi medium pencetus idea kepada mereka yang berada dalam zon bajet ekonomi.
Material
Dengan harga dalam lingkungan RM10,000 hingga RM12,000, pemilik kediaman terutama jenis apartmen mampu mempunyai dapur yang hebat. Apatah lagi pelanggan akan dibantu jururunding profesional.
"Untuk kabinet dapur seluas 9x4 kaki (2.7x1.2 meter), harga mampu milik adalah sekitar RM10,000 lengkap dengan peralatan yang bersesuaian," ungkap Pengurus Projek, Reno Concept, Eric Chan.
DAPUR moden dan kaunter bar merupakan pilihan praktikal bagi kediaman apartmen yang berkonsep terbuka dan bersekali dengan ruang tamu.


Justeru, sebelum memulakan proses membina dapur idaman berdasarkan bajet anda, pastikan anda membawa bersama pelan lantai.
Pelan lantai dapur memudahkan jururunding membuat anggaran sebenar dan memberi senarai material yang bersesuaian sama ada daripada kayu seperti nyatoh dan semangkok, melamin dan formica.
"Apa yang paling penting, pelanggan harus tahu fungsi dapur yang hendak dibina. Ini termasuk kekerapan memasak, jenis pengstoran yang diperlukan serta jumlah isi rumah," jelas Eric.
Dengan reka bentuk pintar, kabinet dapur itu membantu menyembunyikan barangan yang disimpan secara praktikal dan kemas. Ia juga mampu menjimatkan ruang yang sedia terhad.
Unit kabinet gantung dan bertingkat juga berjaya membentuk ruang penyimpanan dan penyediaan makanan yang efektif.
Bagi ruang yang terhad seperti dapur apartmen, kabinet berbentuk L atau selari merupakan pilihan praktikal dalam memaksimumkan ruang.
Bar kaunter
"Binaan bar kaunter menjadi penyelamat mudah dan secara tidak langsung menghidupkan suasana santai ketika menerima tetamu dan menyediakan makanan," kata Eric.
Di samping itu, pemilihan material bagi permukaan serta pintu kabinet turut memberi kesan terhadap bajet namun ia tidak bermakna pilihan yang ada terhad.

KEPELBAGAIAN jubin bagi permukaan dapur boleh didapati dengan bajet ekonomi.


"Permukaan daripada jenis kayu, jubin atau simen akan memberi impak mewah jika disesuaikan dengan warna dan corak," tutur Eric.
Bukan itu sahaja, jenis pintu yang dipilih seperti melamin dengan acrylonitrile butadiene styrene (ABS) membolehkan pemilik mendapat dapur yang elegan dalam lingkungan bajet yang ekonomik.
Pemilihan warna juga penting dalam menyerikan sesebuah dapur walaupun ia dibina ringkas dan menggunakan material daripada kos sederhana.
"Jangan hadkan corak atau rekaan luar kerana ia berupaya mewujudkan konsep pada dapur.
"Jangan terkejut, walaupun menggunakan corak yang ringkas, ia mampu menyerlahkan sisi eksklusif biarpun dengan peruntukan sederhana," nasihat Eric.
Terkini, penggunaan material berkilat khususnya untuk pintu kabinet semakin diminati kerana ia memberi kesan lebih klasik dan semula jadi di samping lebih tahan lasak dan liputan warna yang pelbagai.
Dalam pada itu, Eric menyatakan pelanggan tidak semestinya terikut dengan jenama produk yang ditawarkan.
"Mereka perlu membuat perbandingan harga peralatan elektrik seperti penyedut asap, dapur, ketuhar serta sinki yang diingini.
"Pilihlah mengikut fungsi dan keperluan. Ini akan menyelamatkan isi dompet anda.
"Bagi mereka yang terikat dengan bajet, jenama produk bukanlah satu keutamaan," tegasnya.
Malahan, aksesori serta peralatan dapur boleh dibeli secara berperingkat.
Ini memberi peluang untuk mereka mendapatkan barangan yang bagus pada harga yang berpatutan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails