Setelah melalui detik yang penuh mendebarkan, pengacara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8), Jimmy Shanley Norjahan Saleh sah menjadi suami kepada pilihan hatinya Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy dengan tiga kali lafaz, kira-kira jam 4.40 petang, semalam.
Majlis akad nikah yang berlangsung di banglo mewah milik keluarga perempuan di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Adib dari Imam Muda.
Kira-kira 400 kenalan, saudara-mara hadir pada acara akad nikah yang disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Damansara, Mustaffa Kamal Abu Bakar dan disaksikan oleh Mohd Fadhil Mohd Nor serta Mohd Yusof Mohd Isa. Manakala bapa Suhaila, Datuk Suhaimy bertindak sebagai wali.
Pihak pengantin lelaki telah membawa mas kahwin dan duit hantaran sebanyak RM31,186 bersamaan tarikh lahir pengantin perempuan iaitu pada 31 Januari 1986.
Bagi upacara pembatalan air sembahyang, Jimmy menyarungkan sebentuk cincin pusaka peninggalan arwah ibunya ke jari manis Suhaila. Cincin pusaka berpermata nilam merah itu adalah amanat terakhir arwah ibu Jimmy supaya disarungkan kepada wanita yang menjadi isteri Jimmy.
Jimmy kelihatan segak berpakaian baju Melayu rona perak bercampur keemasan rekaan Rizman Ruzaini manakala Suhaila anggun mengenakan baju kebaya bertatahkan manik dan permata dari Prestige By Inar Jakarta.
Rombongan pengantin lelaki hadir seramai 50 orang diketuai oleh abang Jimmy Shanley iaitu Datuk Ir Young Juwahir Muhammad Idrus membawa sembilan dulang hantaran dan dibalas 11 dulang oleh pihak perempuan.
Hantaran daripada pihak lelaki terdiri daripada seutas jam tangan, satu set barang kemas, sebuah komputer iPad, tas tangan, alatan dandanan dan wangian, sepersalinan pakaian, sepasang kasut, wang mas kahwin dan sebentuk cincin pusaka.
Pihak perempuan pula menyerahkan sepasang kasut, seutas jam tangan, sehelai baju, sehelai seluar, sebuah iPhone, kek, manisan halwa, coklat, sirih junjung, set dandanan dan sepasang baju Melayu.
Ketika ditemui selepas akad nikah selesai, Jimmy mengakui dia berasa gugup semasa melafazkan nikah kerana julung kali berbuat demikian.
Bagaimanapun, bekas pengacara Trek Selebriti itu melahirkan rasa lega kerana akhirnya hasratnya memperisterikan Suhaila tercapai.
“Tempoh perkenalan kami singkat saja. Banyak lagi yang saya tidak tahu tentang isteri saya. Selepas ini, kami akan lebih mengenali diri masing-masing.
“Tapi saya berharap tiada siapa yang mempersoalkan keikhlasan saya memperisterikan Suhaila. Saya akui menyimpan hasrat menjadi sebahagian ahli keluarga abah (Datuk Suhaimy) dan mama (Datin Muniroh) sebagai anak angkat. Namun Allah SWT Maha Mengetahui. Saya pun tidak sangka akan menjadi menantu mereka.
“Saya berkahwin dengan Suhaila bukan kerana harta, tetapi menyayangi serta menyenangi sikap Suhaila. Saya berharap semua orang akan mendoakan agar rumah tangga kami kekal hingga ke akhir hayat,” kata jejaka berusia 30 tahun itu tersenyum lebar.
Jimmy berkata, dia ingin memiliki empat anak lelaki dan seorang anak perempuan bersama isteri tersayangnya.
Sementara itu, isterinya, Suhaila yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim berkata, dia bersyukur dan tetap memberikan sokongan penuh kepada suaminya untuk terus aktif di dalam bidang seni.
credit to Sinar Harian
No comments:
Post a Comment